Terkini
Berita Pantas:
Home » » GURU PENYULUH SINAR MASA DEPAN

GURU PENYULUH SINAR MASA DEPAN


Sempena dengan Hari Guru tahun 2010, Ahli Jawatankuasa Masjid Ikhwanul Islam mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik khasnya Ustaz yang menaburkan benih ilmu di Masjid Ikhwanul Islam. Guru adalah pencetus kejayaan umat serta pembina tamaddun manusia yang berjaya. Kejayaan kita semua pada hari ini bermula dengan didikan guru yang sabar dan tekun serta ikhlas mendidik anak bangsanya. Tanpa guru, tidak mungkin negara dan rakyat mampu bergerak maju.

Sememangnya profesion sebagai guru adalah sangat mulia dan mencabar. Meskipun berdepan dengan pelbagai kerenah dan tingkah laku khasnya jemaah yang pelbagai, ditambah dengan ketidak hirauannya terhadap santapan kuliah di Masjid, para guru terus menuai bakti dan menuang ilmu tanpa jemu. Sama ada mereka diingati atau dilupakan, disebabkan gurulah dan aktiviti majlis ilmu yang dihidupkan di Masjid membawa tuah seluruh penduduk Taman Sukma dan seluruhnya.hari ini penulis mengajak seluruh umat islam mengenang kembali jasa dan bakti para guru, kerana gurulah umat islam terima islam dan mengenali diri dan Allah pencipta alam.

Penulis menaip kembali kepada pesanan Imam Syafie.
Imam Syafie banyak tinggalkan pesanan. IMAM Al-Syafie atau nama sebenarnya, Muhamad bin Idris Al-Syafie ialah imam ketiga mengikut susunan tarikh kelahiran. Beliau adalah penyokong kepada ilmu hadis dan pembaharu agama (mujaddid) bagi abad yang ke-2 hijrah. Imam Syafie banyak meninggalkan wasiat, pesanan atau kata-kata yang menjadi pedoman berguna untuk umat manusia, terutama umat Islam.

Antara pesanan itu adalah:-



1. Ilmu adalah sesuatu yang bermanfaat dan bukannya apa yang hanya dihafaz semata-mata.


2. Kebaikan itu ada pada lima perkara iaitu mampu mengawal diri, menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain, menggunakan rezeki yang halal, berserah diri kepada Allah dan menyakini segala kekuasan Allah.


3. Imam Syafie ditanya mengenai tabiatnya yang suka menggunakan tongkat, sedangkan beliau tidak uzur. Maka, jawabnya : "Ini bertujuan agar aku sentiasa mengingati bahawa hidup di dunia hanya sebagai musafir yang pasti akan kembali kepada Allah."


4. Perkara yang mesti ada pada pemimpin ada lima iaitu benar dalam percakapan, menjaga rahsia, menunaikan segala janji, sentiasa memberi nasihat dan menunaikan kewajipan yang diamanahkan.


5. Keredaan manusia sukar untuk engkau capai. Selamat daripada lidah manusia tidak bermakna sudah boleh dianggap mencapai jalan kepada mendapat keredaan mereka. Oleh itu engkau hendaklah melakukan perkara yang bermanfaat kepadamu dan sentiasalah berbuat demikian.


6. Sesiapa yang berasa marah, tetapi tidak meluahkannya, maka, dia seumpama keldai. Sesiapa yang reda terhadap sesuatu, tetapi tidak dapat menerimanya, maka dia seperti syaitan yang mana reda dengan ketuhanan Allah, tetapi tidak mahu tunduk pada perintah-Nya.


7. Capailah tujuan sesuatu percakapan itu dengan diam dan capailah sesuatu keputusan itu dengan berfikir.


8. Orang yang menzalimi diri sendiri ialah mereka yang tunduk dan patuh pada mereka yang tidak menghormatinya, mengharapkan kemanisan pada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya dan menerima pujian daripada mereka yang tidak dikenalinya.


9. Sesiapa yang mahu dipandang baik dan mulia, maka dia hendaklah berbaik sangka terhadap orang lain.


10. Sesiapa yang memberi peringatan dan nasihat kepada rakannya dalam keadaan sembunyi, maka sesungguhnya dia telah menasihati dan memperelokkannya. Sesiapa yang menasihati secara terang, maka dia telah menyakiti dan mengkhianatinya.


11. Tidak akan tercapai ilmu melainkan bersabar di atas segala kesusahan dalam mencapainya.


12. Apabila telah tetap perkara asal dalam hati, maka lidah akan berkata mengenai cabangnya (hasil).


13. Sesiapa yang mahu kebahagiaan di akhirat, maka dia hendaklah ikhlas dengan ilmu.


14. Orang berilmu bertanya mengenai perkara yang dia sudah tahu dan perkara yang belum diketahuinya. Maka dengan cara ini dia dapat memperkemaskan ilmu yang telah ada dan dapat menimba ilmu yang belum diketahui.
Kongsi dan sebarkan artikel ini :

0 Komen:

PROGRAM DAN AKTIVITI TERKINI

 
Support : Creating Website | Omarali | SUKMA Template
Copyright © 2008. MASJID IKHWANUL ISLAM TAMAN SUKMA - All Rights Reserved
Original Design by Creating Website Modified by Haji Omarali Matjais