Terkini
Berita Pantas:
Home » » Bersama membanteras jenayah ragut

Bersama membanteras jenayah ragut

Orang ramai perlu memainkan peranan dalam usaha membanteras jenayah ragut yang berlaku terhadap pelancong asing di bandar raya ini.

Orang ramai berperanan banteras jenayah ini yang berlaku terhadap pelancong

Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Datuk Talib Zulpilip berkata orang ramai perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha membanteras jenayah sedemikian dan bukannya tanggungjawab polis sematamata.

Katanya, jenayah ragut yang berlaku di bandar raya ini yang membabitkan pelancong asing boleh mencalarkan imej negeri Sarawak dan juga sebagai destinasi pelancongan.

“Justeru, saya amat mengharapkan penyertaan orang awam untuk bersama-sama bertindak menangkap atau merakam perbuatan mereka (peragut) sebagai contoh melalui telefon bimbit atau kamera apabila menyaksikan kejadian.

“Setidak-tidaknya mereka yang menyaksikan kejadian, mencatatkan nombor plat pendaftaran kenderaan peragut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang di hadapan Pejabat Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF), Tebingan Kuching di sini, semalam.

Menurut beliau, pihak kementerian dalam pada itu telah mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pihak berkuasa termasuk pihak polis.

“Kami biasanya akan mengadakan pertemuan dengan pihak polis kerana mereka adalah badan yang paling sesuai terutamanya membanteras jenayah ini.

“Mereka telah melakukan yang terbaik dalam usaha itu tetapi kita harus tahu kadangkala peragut lebih bijak bertindak jadi kita harus mencari jalan penyelesaian yang terbaik… kalau kita dapati ia sebuah sindiket maka kita harus hapuskan,” tegasnya.

Ditanya mengenai tindakan sama ada kementerian merancang meletakkan tanda amaran di setiap hotel, Talib yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berkata:

“Saya merasakan ia tidak perlu, kerana ia akan mendatangkan kebimbangan atau ketakutan kepada pengunjung justeru kami tidak merancang perkara itu setakat ini.”

Berdasarkan statistik yang ada, beliau memberi jaminan bahawa Sarawak bukan negeri yang terburuk berlakunya kes ragut malahan ia berlaku di seluruh dunia.

Kata Talib, meskipun kes ragut melibatkan warga asing jarang namun ia tidak harus dipandang ringan kerana perlu disertakan dengan tindakan yang tegas.

Baru-baru ini beberapa kes ragut melibat pelancong warga asing telah dilaporkan di dada akhbar dan salah satu daripadanya membabitkan pelancong dari Belanda yang cedera di kepala dan tangan selepas diragut di hadapan sebuah restoran di pusat bandar raya.

Kejadian malang itu berlaku lebih kurang jam 11.30 malam di sekitar Jalan Tun Abdul Rahman, ketika mereka bercadang untuk bersiar-siar menikmati pemandangan di sepanjang Tebingan Kuching. Talib terdahulu mengagihkan kira-kira 200 bendera Malaysia dan Sarawak kepada lebih 30 teksi dan bas serta lapan persatuan di bawah STF yang turut dihadiri presidennya Wee Hong Seng.

Antara yang terlibat termasuk Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) Cawangan Sarawak, Malaysian Associations of Tour and Travel Agents (MATTA) Cawangan Sarawak, Sarawak Association of Tourism Atrractions (SATA), Association of Sarawak Inbound Agencies (ASIA), Sarawak Tourist Guide Association (SkTGA), Sarawak Handicraft and Souvenior Association (SHASA), Sarawak Restaurant Association (SRA) dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MBHA) Cawangan Sarawak.

Talib berkata beliau amat terharu dengan sambutan yang ditunjukkan sempena kempen berkenaan yang menandakan kesedaran dan semangat patriotik terhadap negara semakin meningkat.\
by Jessica Jawing
August 20, 2010, Friday
Kongsi dan sebarkan artikel ini :

0 Komen:

PROGRAM DAN AKTIVITI TERKINI

 
Support : Creating Website | Omarali | SUKMA Template
Copyright © 2008. MASJID IKHWANUL ISLAM TAMAN SUKMA - All Rights Reserved
Original Design by Creating Website Modified by Haji Omarali Matjais