Terkini
Berita Pantas:
Home » » Qiamulail 10 Malam Terakhir

Qiamulail 10 Malam Terakhir

Qiamulai bermula setiap malam pada 10 malam terakhir di Masjid Ikhwanul Islam, Taman SUKMA. Solat  berjemaah sunat Witir atau sunat Tasbih yang dipimpin oleh 3 orang ustaz bergilir-gilir bermula 3.30 pagi.

Solat sunat lain seperti solat sunat Taubat, sunat Hajat dan lain-lain hendaklah dilakukan secara individu sebelum 3.30 pagi. Pada amnya program adalah seperti berikut:

1 - 3 Sept 2010
Dipimpin oleh Ustaz Tamizi Haji Hussien dengan 11 rakaat solat sunat Witir

4 - 6 Sept 2010
Dipimpin oleh Ustaz Wan Abdul Rahman dengan 4 rakaat solat sunat Tasbih + 3 rakaat solat sunat Witir.

7 - 10 Sept 2010
Dipimpin oleh Ustaz Hassan Basri dengan 11 rakaat solat sunat Witir





Allah rahsiakan Lailatul Qadar

Antara amalan bagi mengisi malam al-qadar adalah memperbanyakkan membaca al-Quran selain qiamullail. – Gambar hiasan

RAMADAN yang datang menjanjikan pahala yang banyak. Amat beruntunglah golongan muslim yang merebut peluang ibadah yang besar pahalanya.

Salah satu anugerah Ramadan adalah Lailatul Qadar. Dalam tulisan kali ini, kita cuba telesuri beberapa pandangan para ulama sebagaimana yang dihuraikan panjang lebar dalam kitab Fath al-Bari.

Ada kiraan bagi menentukan malam Al-Qadar. Antaranya ada disebut tentang jumlah lafaz yang ada dalam surah al-Qadr.

Jumlah lafaznya adalah 30. Manakala lafaz hiya dalam ayat yang terakhir merujuk kepada Lailatul Qadar. Lafaz ini adalah lafaz yang ke 27, maka dihukum bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Dalam kiraan yang lain, disebut bahawa lafaz Lailatul Qadar dalam tulisan Arab terdiri daripada sembilan huruf. Lafaz Lailatul Qadar disebut sebanyak tiga kali dalam surah al-Qadr, maka sembilan darab tiga menjadi 27. Maka hukumnya Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Kesemua pendapat ini hasil ijtihad para ulama. Untuk melengkap lagi kefahaman tentang Lailatul Qadar, ada beberapa hadis sebagai pedoman. Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: Maka carilah Lailatul Qadar pada sembilan, tujuh dan lima. (riwayat al-Bukhari).

Menurut satu tafsiran hadis, sembilan, tujuh dan lima merujuk kepada 29, 27 dan 25 Ramadan.

Kesemua pendapat ini adalah baik bagi menerangkan hakikat malam Lailatul Qadar. Bagi sesetengah kelompok masyarakat pula, Lailatul Qadar tetap pada satu malam sahaja iaitu malam 27 Ramadan.

Kepelbagaian pandangan para ulama dalam penentuan Lailatul Qadar memberi isyarat jelas bahawa tiada kesepakatan dalam masalah ini. Maka Lailatul Qadar menjadi rahsia. Ijtihad ulama dalam lontaran pandangan hanya sekadar ijtihad yang ada masanya betul dan ada masanya silap.

Maka di sini nyata hikmah disembunyikan Lailatul Qadar agar umat Islam lebih berusaha mencarinya. Terserah kepada kita umat Islam untuk memilih mana-mana pandangan selagi mana ia berdasarkan dalil dan hujah. Maka tidaklah menjadi keperluan untuk bertegang urat dalam masalah penentuan malam ini. Apa yang penting, bagaimanakah amalan kita

Oleh MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR

MARILAH KITA SAMA-SAMA MENCARI MALAM LAILATUL QADAR.

Malam Lailatul Qadar menjadi rebutan para aulia dan orang yang soleh kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk beroleh keberkatan dan rahmat yang tersembunyi di dalamnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau. (riwayat Muslim)

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).

Jelas daripada mafhum ayat suci di atas bahawa Lailatul Qadar akan muncul pada setiap Ramadan sebagai anugerah Ilahi dan rahmat Allah yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Malam yang penuh bersejarah itu dinilai sebagai malam yang lebih baik dan lebih banyak ganjarannya daripada 1,000 bulan .

Ulama berselisih dalam menentukan malam berlaku Lailatul Qadar. Namun mereka berselisih pendapat mengenai malam ke berapa daripada 10 malam terakhir itu. Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan.

Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang ingin mendapatkan Lailatul Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27.” (riwayat Ahmad)

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam al-Qadar itu berlaku pada malam-malam ganjil 10 hari terakhir.

Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya oleh golongan yang beriman, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang yang dilimpahi kenikmatan syurga dan kebahagiaan abadi.

Menurut sejarah Islam, Lailatul Qadar pertama kali menemui Rasulullah SAW, ketika baginda sedang khusyuk menyendiri di Gua Hira, bermuhasabah dan merenung diri sendiri dan masyarakat sekeliling.

Tidak berapa lama kemudiannya, datang al-Ruh al-Amin iaitu malaikat Jibril membawa bersama wahyu Ilahi untuk membimbing baginda sehingga berlakulah perubahan secara menyeluruh dalam setiap detik dan perjalanan hidupnya.

Selanjutnya, Lailatul Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya yang menyeluruh.

Justeru, amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan yang dilakukan selama 1,000 bulan. Lebih-lebih lagi, apabila dibanding dengan umur nabi dan umat terdahulu.

Usia baginda dan umatnya adalah pendek. Contohnya, Nabi Nuh dikurniakan Allah umur selama 950 tahun. Maka, Lailatul Qadar adalah kurniaan sangat besar nilainya bagi umat Nabi Muhammad SAW. Ini kerana lamanya waktu seribu bulan apabila dihitung dalam kiraan tahun ialah selama 83 tahun lebih. Tambahan pula, angka itu jauh lebih banyak berbanding dengan umur umat Nabi Muhammad SAW yang rata-ratanya dalam sekitar 60 tahun sahaja.

Kerana keutamaan inilah, Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan Lailatul Qadar yang penuh keberkatan.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan agar bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa.
Kongsi dan sebarkan artikel ini :

0 Komen:

PROGRAM DAN AKTIVITI TERKINI

 
Support : Creating Website | Omarali | SUKMA Template
Copyright © 2008. MASJID IKHWANUL ISLAM TAMAN SUKMA - All Rights Reserved
Original Design by Creating Website Modified by Haji Omarali Matjais