Terkini
Berita Pantas:
Home » , » Banyakan Aktiviti Masjid, Surau - Taib

Banyakan Aktiviti Masjid, Surau - Taib

Ia adalah usaha melahirkan lebih ramai masyarakat Islam yang berilmu dan berkemahiran, kata KM


KUCHING: Kegiatan dan aktiviti di masjid dan surau perlu diperbanyakkan lagi dalam usaha melahirkan lebih ramai masyarakat Islam yang berilmu dan berkemahiran. Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, melalui rangkaian masjid dan surau, masyarakat Islam boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang boleh membantu masyar­akat Islam berkembang maju.

“Saya rasa permulaan kepada semua tabiat baru masa kini tidak dapat dijalankan dengan mudahnya di rumah sahaja.

“Justeru, ia boleh dilakukan di surau dan di masjid kita, kerana di sanalah kita dapat menumpukan cara kita untuk membantu masyarakat kita supaya dapat maju,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Kampung Buntal, malam kelmarin.

Tabiat baru yang dimak­sudkan beliau ialah aktiviti pendidikan yang menjurus ke­pada penggunaan kemudahan Internet dan kemudahan-ke­mudahaan moden masa kini.

“Antara yang dapat mem­percepatkan pembangunan masyarakat kita ialah dengan memberikan pendedahan ke­pada anak-anak kita melalui Internet.

“Hubungan Internet ini bu­kanlah tempat orang mencer­ca manusia ataupun tempat untuk menunjuk gambar-gambar yang haram dan di si­nilah kita perlu membimbing anak kita untuk melihat apa yang berguna kepada mereka agar apa yang diperolehi dari Internet ini dapat mening­katkan ilmu pengetahuan mereka,” katanya

Menurut beliau, melalui rangkaian masjid dan surau ini juga akan memudahkan kera­jaan untuk memberi kemu­dahan yang lebih baik kepada golongan muda masa kini.

“Masjid merupakan sebuah tempat orang Islam ber­kumpul bersama-sama, tetapi masjid bukan sahaja tempat sembahyang di mana masjid dan surau ini juga tempat orang belajar dan mengajar mengaji, khatam al-quran dan berzikir tetapi perkara itu hanya sekali-sekala berlaku.

“Oleh itu, sekarang tumpuan kita adalah di masjid kerana orang nak menolong pun senang sebab kita jangka akan adanya bekas-bekas guru dan sesiapa sahaja yang ingin berkongsi ilmu kepada anak-anak kita dan juga membantu anak-anak kita dalam proses mendapat pengetahuan yang lebih baik,” katanya

Tambahnya lagi, melalui rangkaian masjid dan surau ini masyarakat dapat dibentuk, dididik serta diasuh untuk mem­punyai satu acuan hidup sihat.

Selain itu, menurut beliau melalui rangkaian tersebut juga akan melahirkan golon­gan muda menjadi orang Islam yang cukup kemahiran, faham hal dunia dan akan menjejak kaki ke institut pengajian tinggi dan mendapat didikan serta pekerjaan yang baik.

Sementara itu, dalam keny­ataan akbbar TBS, seramai 28 orang Asnaf Fakir Miskin sejumlah RM1,400 dan se­jumlah RM34,753 diagihkan kepada 27 orang melalui tiga program utama, iaitu Pro­gram Mengukuhkan Tradisi Keilmuan , Memantapkan Kebajikan Ummah dan Pro­gram membangunkan Insti­tusi Islam.

Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah Penasi­hat Khas di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman dan Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Datuk Talib Zulpilip serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rah­man Junaidi.


Pix: TERIMALAH: Taib (empat kanan) menyampaikan sumbangan TBS kepada salah seorang penerima di Kuching malam kelmarin.

September 10, 2010, Friday
Kongsi dan sebarkan artikel ini :

0 Komen:

PROGRAM DAN AKTIVITI TERKINI

 
Support : Creating Website | Omarali | SUKMA Template
Copyright © 2008. MASJID IKHWANUL ISLAM TAMAN SUKMA - All Rights Reserved
Original Design by Creating Website Modified by Haji Omarali Matjais