Terkini
Berita Pantas:
Home » , » Hikmah dan falsafah haji

Hikmah dan falsafah haji

Ibadah haji memerlukan persediaan mental dan fizikal. -Gambar hiasan

SEBELUM dibincangkan tajuk seperti ini, perlu dikemukakan beberapa definisi hikmah dan falsafah. Mengikut Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi: “Hikmah ialah gabungan antara ilmu dan amalan dengannya.” Untuk memahami pengertian dan definisi hikmah dengan mendalam, dikemukakan di sini definisinya.

Pada bahasa, ia diambil daripada kalimah hakama, dengan maksud tegahan. Justeru, dengan maksud tegahan daripada kezaliman. Hikmah pula membawa maksud tegahan daripada kejahilan.

Definisi Falsafah

Al-Jurjani dalam al-Ta‘rifat (216) berkata: “Falsafah ialah menyerupakan dengan Tuhan mengikut kemampuan manusia untuk menghasilkan kebahagiaan yang abadi, sebagaimana yang diperintah oleh Rasulullah SAW yang bersifat benar. Ini selaras dengan kenyataannya yang bermaksud: “Berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah SWT.”

Dikemukakan di sini hikmah dan falsafah haji sama ada secara fardi iaitu perseorangan atau jemaah

Firman Allah SWT: yang bermaksud: (Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah), dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (al-Baqarah: 197)

Zahir nas ini menjelaskan bahawa haji itu mempunyai waktu yang tertentu, iaitu pada beberapa bulan tertentu, iaitu Syawal, Zulkaedah dan sepuluh hari pertama Zulhijjah.

Berdasarkan nas ini, tidak sah ihram dengan haji melainkan di dalam bulan-bulan yang ditentukan sahaja, walaupun ada sesetengah mazhab mengatakan sah berihram dengan haji di sepanjang tahun dan menentukan bulan-bulan yang tertentu ini untuk menunaikan syiar-syiar haji pada masa-masanya yang termaklum.

Pendapat yang akhir ini dipegang oleh Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad Ibn Hanbal. Pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibrahim al-Nakha‘ie, al-Thauri dan al-Laith Ibn Sa‘ad. Sementara pendapat yang pertama pula, dipegang oleh Imam al-Syafie dan pendapat ini juga diriwayatkan dari Ibn Abbas, Jubair, ‘Ata’, Tawus dan Mujahid dan ia merupakan pendapat yang azhar.

Hikmah Haji dan

Faedah bagi Individu

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu menyebut tentang faedah bagi seseorang yang menunaikan haji. Antaranya:

Menghapuskan dosa kecil. Sebahagian ulama Hanafi berkata, termasuk dosa besar.

*Membersihkan jiwa daripada maksiat.

*Jiwa menjadi bersih, ikhlas dalam tajdid kehidupannya.

*Menambahkan lagi ma’nawiyat ihsan.

*Meneguh dan menguatkan cita-cita serta keazaman.

*Mengukuhkan lagi husnu al-zan dengan Allah SWT.

*Menambah dan meningkatkan iman serta keyakinan.

*Memperbaharui tajdid perjanjian ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT.

*Bertaubat dengan penuh keikhlasan dan harapan kepada keampunan-Nya.

*Mendidik jiwa serta melembutkan perasaan kemanusiaan.

*Menambahkan lagi sifat dan tingkatan ihsan dalam ibadat.

*Mengimbau kembali nostalgia keagungan Islam.

*Membaca sejarah salaf al-soleh yang penuh gemilang dengan amalan soleh dan jihad.

*Mengajar erti sebuah kesabaran dan pengorbanan.

*Memahami keperluan iltizam dan istiqamah yang mesti disebatikan dalam jiwa.

*Menzahirkan kesyukuran di atas pelbagai kurniaan nikmat-Nya: Antaranya, nikmat harta, kesihatan, ilmu, ukhuwah, iman, taqwa, tauhid, akal dan *ain-lain.

*Menanam dalam lubuk hati ruh ubudiah yang sempurna.



Oleh DR. ZULKIFLI
MOHAMAD AL BAKRI
Kongsi dan sebarkan artikel ini :

0 Komen:

PROGRAM DAN AKTIVITI TERKINI

 
Support : Creating Website | Omarali | SUKMA Template
Copyright © 2008. MASJID IKHWANUL ISLAM TAMAN SUKMA - All Rights Reserved
Original Design by Creating Website Modified by Haji Omarali Matjais